Friday, January 26, 2007

Kisah Para Ulama' (1)

Imam Hanafi tolak pelbagai jawatan ditawarkan khalifah

IMAM Hanafi yang dikenali Imam Abu Hanifah atau nama sebenarnya ialah An-Nuk’man bin Tsabit ditawarkan pelbagai jawatan oleh kerajaan Bani Abbasiyah seperti setiausaha kerajaan, bendahari dan kadi tetapi semuanya ditolak. Ini kerana beliau seorang yang warak dan tidak mahu berkhidmat dalam jawatan rasmi.
Beliau sering dijatuhkan hukuman kerana membangkang kehendak Khalifah. Antaranya ialah Gabenor Yazid bin Hurairah yang melantik Imam Hanafi menjadi kadi di Kufah tetapi ditolak menyebabkan Yazid marah.
Yazid memerintahkan: “Sekiranya dia tetap tidak mahu menerima jawatan yang ditawarkan, pukul dia.” Imam Hanafi dimasukkan ke penjara dan dikenakan rotan sebanyak 110 kali. Setiap hari beliau dirotan 10 kali, yang mana ketika itu usianya sudah mencapai 50 tahun.
Apabila Khalifah Abu Jaafar Al-Mansur memerintah Bani Abbasiyah, Imam Hanafi dilantik sebagai kadi di Baghdad. Beliau dipanggil menghadap khalifah. Abu Jaafar memaksa beliau dengan bersumpah untuk menerima jawatan yang diberikan tetapi Imam Hanafi menolak dengan bersumpah.
Seorang pegawai berkata: “Apakah tuan guru tetap menolak titah baginda sedangkan baginda bersumpah supaya tuan guru menerima jawatan itu.”
Imam Hanafi berkata: “Khalifah lebih layak membayar kifarat sumpahnya daripada saya membayar kifarat sumpah saya.”
Oleh kerana menolak jawatan itu, Imam Hanafi dimasukkan ke dalam penjara hingga ke satu masa yang ditentukan oleh khalifah. Selepas sekian lama di penjara, beliau dibawa menemui khalifah untuk ditanya lagi sama ada beliau sedia menerima jawatan itu atau tidak, tetapi beliau tetap menolaknya.
Khalifah berkata: “Wahai Nukman, adakah kamu suka dengan keadaan kamu seperti sekarang ini?”
Imam Hanafi berkata: “Semoga Allah memperbaiki Amirul Mukminin. Wahai tuan, takutlah engkau kepada Allah dan janganlah engkau bersubahat dalam kepercayaan engkau dengan orang yang tidak takut kepada Allah. Demi Allah saya bukanlah orang yang dapat dipercayai di waktu tenang, jadi bagaimanakah saya dapat dipercayai pada waktu marah? Sebenarnya saya tidak patut ditawarkan jawatan seperti itu.”
Khalifah berkata dengan marah: “Kamu berdusta, kamu memang layak memegang jawatan itu.”
Imam Hanafi berkata: “Ya Amirul Mukminin, tuanku sendiri mengatakan saya pendusta, kalau begitu bagaimanakah tuanku hendak melantik seorang pendusta memegang jawatan itu.”
Abu Jaafar sangat marah sebab Imam Hanafi dapat menangkis kata-katanya, kemudian khalifah memerintahkan supaya beliau dimasukkan kembali ke dalam penjara.
Beliau dimasukkan ke penjara dan dipukul, disebat serta lehernya dipakaikan dengan rantai besi yang berat.Walau pun seksaan berat dikenakan, beliau tetap menolak jawatan yang ditawarkan. Khalifah sudah tidak tahu apa hendak dibuat terhadap Imam Hanafi yang degil.
Segala ikhtiar beliau untuk memaksa Imam Hanafi menerima jawatan itu sia-sia belaka.Suatu hari Imam Hanafi dipanggil khalifah. Beliau keluar dari penjara dan dikawal ketat oleh polis penjara. Dengan leher dan kaki yang dirantai beliau dibawa mengadap khalifah.
Khalifah berkata: “Minumlah.” Imam Hanafi tidak terus minum tetapi khalifah memaksa Imam Hanafi minum minuman yang dicampur racun itu.
Setelah dipaksa, Imam Hanafi pun terus minum. Selepas beliau minum beliau dihantar semula ke dalam penjara. Beberapa saat kemudian beliau berasa badannya panas dan kepalanya pening. Beliau merasakan ajalnya sudah dekat, beliau sujud kepada Allah dengan khusyuk. Lama beliau sujud dan akhirnya beliau kembali kepada Allah dalam keadaan sujud.
p/s: semoga menjadi iktibar buat kita semua..ameen..=)

No comments: