Tuesday, March 20, 2007

Kisah Para Ulama' 3.1


Hassan AlBanna …


Beginilah beliau syahid dan begitulah dikeluarkan jenazahnya…

Petikan buku Dakwah dan Tarbiyah – Pandangan Assyahid Imam Hassan AlBanna
Oleh: Abbas Assisi

Muhammad Ali Tahir adalah merupakan seorang guru satu kumpulan pemimpin dan panglima Arab. Mereka ini sentiasa menghadiri majlisnya yang dipandang sebagai kelab dan pusat perbincangan di Kaherah. Majlis-majlis ini selalu dihadiri oleh para pemimpin gerakan kemerdekaan yang berlindung di Kaherah pada masa itu, juga disertai oleh para wartawan dan para sasterawan.

Al-ustaz Muhammad Ali Tahir telah menerbitkan sebuah buku yang berjudul “Kem-Kem Tahanan di Haksatib”, tetapi buku ini tersembunyi dari pasaran lantaran tindakan pihak berkuasa yang membabi buta pada ketika itu untuk menekan segala suara yang mendedahkan segala kejahatan dan taktik mereka yang ganas. Di bawah ini kita petik satu fasal dari buku itu. Kita bentangkan di hadapan saudara pembaca sebagai saksi dan bukti dari seorang lelaki yang telah merasai segala peristiwa khianat yang keji itu dengan segala situasi yang bersangkutan dengannya.

Beginilah beliau syahid…

Akhirnya setelah kawalan ketat dilonggarkan, surat khabar telah berjaya menyiarkan bagaimana cara syahidnya as syeikh Hasan Al Banna Rahimahullah dan bagaimana beliau dikebumikan. Sesungguhnya tujuan laporan dan kesimpulan sekitar peristiwa ini dari sejarah zaman ini adalah untuk dikenali oleh generasi yang akan datang (yang baru muncul).


Kira-kira pukul lapan setengah petang, Sabtu, 12 Februari 1949 Masehi, as syeikh Hasan AlBanna bersama abang iparnya al ustaz Abdul Karim Mansur, seorang peguam meninggalkan pejabat agung jamaah Al Ikhwan di Jalan Malikah Nazili di Kaherah. Beliau memanggil sebuah kereta dan kemudian menaikinya bersama iparnya itu. Semasa kereta itu memusing untuk membawa as syeikh AlBanna dan rakannya kepada tujuannya dari pintu jamaah Al Ikhwan menuju ke Jalan Malikah Nazili, tiba-tiba seorang pemuda yang bersongkok putih, mengacukan sepucuk pistol dan terus melepaskan tembakan kepada orang-orang yang ada di dalam kereta itu. Tembakan pertama menembusi dada kanan as syeikh Hasan Al Banna. Apabila beliau cuba menoleh ke arahnya, penceroboh itu menembak lagi sebanyak lima das di belakangnya, beliau cuba berdiri kerana terkejut tetapi ditembak lagi di paha kirinya. Pemandu kereta itu sempat membaringkan dirinya di atas kusyen tempat duduknya. Sejurus kemudian setelah tersedar dari kebingungannya, pemandu itu bersegera memecut keretanya ke pusat rawatan. Doktor yang merewat dapat melihat betapa gawatnya keadaan as syeikh Hasan Al Banna, diperintahklan supaya as syeikh Hasan Al Banna dipindahkan ke rumah sakit ‘Qasru al Aini’. Di sana ternyatalah bahawa Hasan Al Banna telah ditembak dengan pistol sebanyak dua kali menembusi dadanya dan memecahkan sebatang dari tulang rusuknya sekaligus merosakkan bahagian dalam tubuhnya.

Manakala keadaan peguam itu tidaklah begitu mencemaskan . Darah pun dimasukkan ke dalam tubuh Hassan Al Banna. Akhirnya pada pukul dua belas beliau kembali ke rahmatullah akibat lukanya.


Bagaimanakah mereka mengebumikan Assyahid Hasan AlBanna?

Akhbar “Al Kutlah” yang diterbitkan oleh al ustaz Mukram Ubaid Basya menyiarkan berita pengebumian al Imam Assyahid dengan segala situasi serta keganasan yang mengerikan yang berkaitan dengannya. Barangsiapa yang membacanya pasti akan mengutuk orang-orang yang zalim dan jahat itu.

Mereka-mereka yang durjana itu menangkap sesiapa sahaja yang memberi takziah, mereka melarang orang ramai melakukan solat jenazah untuk al marhum, melarang orang ramai membaca Al Quran ke atas rohnya. Kemudian berita bersejarah ini disiarkan di dalam akhbar tersebut.

Sumber berita ini dipetik dari ucapan syeikh Ahmad Al Banna ayah kepada Imam Assyahid Al marhum Hassan Al Banna.

Jasad Imam Assyahid telah dipindahkan ke rumahnya dengan sebuah kereta. Mereka itu dikawal rapi oleh beberapa buah kereta yang dipenuhi oleh angkatan polis yang lengkap bersenjata. Kengerian jenayah itu melupakan mereka bahawasanya orang yang telah mati tidak bercakap dan tidak menyahut.

Di sebatang jalanraya al Hilmiyah, angkatan itu berhenti dan turun lalu mereka mengepung rumah al Imam as syahid. Mereka menutup setiap jalan dan lorong yang menuju ke rumah al Imam assyahid. Semuanya ditutup dengan angkatan yang lengkap tentera bersenjata.
Ayah al Imam as syahid, adalah seorang tua yang telah lanjut umurnya, melebihi 90 tahun, tetapi masih kuat dan tidak kelihatan tanda-tanda umur tuanya sebagaimana yang ternyata pada malam malapetaka itu. Beliau telah mengetahui berita kematian anaknya dari seorang panglima angkatan bersenjata pada saat terjadinya. Di terus berjaga malam diharu oleh perasaan dukacita menunggu kedatangan fajar untuk menyempurnakan suruhan Allah sambil berkata : Maha Suci Engkau dan keadilanMu wahai Tuhanku…mereka telah membunuh anakku!!!

Bunyi ketukan yang bertubi-tubi di pintu rumah itu menghancur luluhkan hati orang tua yang berjiwa besar itu sebagaimana hancurnya gandum di dalam pengisar.
bersambung....

No comments: