Selepas pengebumian Assyahid Hassan Al Banna
Akhbar “Al-Katlah” menyiarkan penjelasan mengenai peristiwa pengebumian al marhum as syeikh Hassan Al Banna di bawah tajuk-tajuk yang meradang dan menyakitkan hati ! Iaitu: “Polis menangkap jasad Assyeikh Al Banna”, “Bagaimana mereka menangkap mayat yang lain”, “Polis mengepung kubur-kubur dan mengadakan kawalan terus menerus”.
Setelah itu, akhbar Al Katlah menyatakan sebagai berikut: Di dalam masa dua belas jam, Hasan Al Banna dibunuh, dibedah, dimandikan, dan dilipat lembaran hidupnya. Wanita-wanita memikul jenazahnya di atas bahu mereka. Kembalilah ayah yang cintakan anaknya dengan penuh dukacita.Sebelum sampai ke tanah perkuburan “Imam As Syafei” pasukan tentera telah mengepung jalan-jalan yang menuju ke tanah perkuburan itu. Di masa yang sama satu angkatan bersenjata yang besar mengepung rumah almarhum untuk menghalang siapa sahaja yang cuba masuk ke rumah itu walaupun dari qari-qari Al Quranul Karim. Orang-orang yang keluar dari rumah itu pun ditangkap walaupun mereka itu adalah jiran-jiran (Al Mursyid Hasan Al Banna).
Salah seorang dari pasukan polis pada hari itu menangkap seorang dari sahabat-sahabat almarhum al Imam Assyahid kerana dianggap melakukan ‘jenayah’. ‘Jenayah’nya adalah menyembunyikan satu mushaf Al Quranul Karim di dalam lipatan pakaiannya. Mereka menyerahkan sahabat al Imam assyahid itu kepada orang yang bertugas untuk membuat tangkapan.
Pada hari ini kami akan menulis sebuah kisah baru, dari bermacam-macam kisah kezaliman dan kejahilan yang selalu ditutup dari pengetahuan orang ramai. Kisah ini adalah kisah pertarungan yang dahsyat yang terjadi di antara pasukan polis dengan jasad (mayat) Hasan Al Banna.
Khabar-khabar angin telah tersebar suatu petang bahawasanya sahabat-sahabat al Imam Assyahid sangat sedih kerana al Imam itu dikebumikan menurut cara yang menghina dan menyedihkan. Mereka telah berazam hendak mengambil mayat itu dari kuburnya dan menyembunyikannya dari pengawasan polis.
Berita dilaporkan kepada pihak berkuasa, lalu mereka memerintahkan supaya dilipat gandakan usaha penjagaan terhadap kubur itu dan memeriksa setiap orang yang melalui jalan menuju ke tanah perkuburan al Imam as Syafie (di mana al Imam Assyahid dikuburkan). Pasukan tentera yang bersenjata bergilir-gilir mengadakan penjagaan yang ketat di situ dengan mata celik dan waspada, dengan hati gentar dan berdebar-debar. Mereka kerahkan pasukan polis untuk berjaga malam untuk menjaga mayat Al Imam Assyahid di dalam kubur dan menguasainya lantaran mereka takut kalau-kalau ada di kalangan manusia nanti memindahkan mayat itu ke suatu tempat yang sesuai dengan taraf dan kedudukan mayat al Imam Assyahid itu. Orang-orang zalim yang memegang tampuk kekuasaan masih ghairah menindas lelaki itu walaupun ia telah menjadi mayat dan menguasainya dengan angkatan tentera mereka. Demikianlah bagaimana Ibrahim Abdul Hadi Pasya (Perdana Menteri di waktu itu) mengawal pahlawan zaman itu, alangkah berdosanya perbuatannya itu.
Apabila pasukan polis yang berkawal itu meragui seseorang atau kumpulan yang lalu lalang di situ, mereka ditahan, dperiksa dan ditanya ke mana mereka pergi. Sekiranya polis berpuas hati kepada mereka (ini jarang berlaku) mereka dibenarkan bersurai.
Tetapi apabila polis meragui mereka (sebahagian besar begitulah) mereka ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Pihak polis sentiasa mengesyaki apabila mereka melihat beberapa orang memikul keranda dan membawanya ke kubur di waktu menjelang malam (maghrib) kerana berkemungkinan mereka datang dari tampat yang jauh.
Rombongan yang menghantar jenazah itu terperanjat apabila melihat senjata-senjata yang berkilat-kilat di malam yang gelap gelita dan mendengar suara menyuruh mereka berhenti serta merta dan meletakkan keranda itu di atas bumi untuk mengetahui jenazah siapakah itu. Salah seorang dari pasukan tentera itu akan mengangkat penutup keranda dan disuluh dengan lampu suluh yang dipegangnya. Apabila tentera itu telah memastikan bahawa jenazah itu bukan jenazah utusan Al Banna, lantas menyuruh mereka menutup semula dan meneruskan perjalanan. Demikianlah, telah ditaqdirkan terhadap orang-orang yang telah mati menerima bahagiannya dari kezaliman orang-orang yang masih hidup pada zaman itu.
Kubur yang sentiasa menikmati suasana kerehatan dan ketenangan sejak dari dahulu kala lagi sehinggalah datang zaman ini, di mana orang-orang yang telah mati dan telah berada di dalam Ri’ayah Allah tidak terhindar dari kezaliman, kecurangan, ketakutan dan kejahilan orang-orang yang masih hidup (zalim).
Selepas Jenazah Hasan Al Banna
Berita berikut ini dipetik dari akhbar ‘Al-Katlah’ yang telah disiarkannya di bawah tajuk-tajuk yang mengharukan dan mendukacitakan iaitu: Tangkapan ke atas setiap orang yang berkabung pada hari terbunuhnya as syeikh Hasan Al Banna (Hamid Juddah, Pengerusi Dewan Rakyat melucuti pakaian hitamnya pada hari itu) – “Tindakan disiplin pendidikan di masjid-masjid selepas tiap-tiap solat”. Kemudian ‘Al- Katlah’ melaporkan seperti biasa penulis ruangan ini ialah Mukram Ubaid Basya.
Kami telah pun menceritakan tentang jenazah Assyeikh Al Banna. Kami telah juga melaporkan sebahagian daripada yang terjadi di dalam dan di luar rumah Assyeikh Hasan Al Banna. Tinggal apa lagi yang kami beritakan kepadamu ialah berbagai-bagai peristiwa di tengah-tengah perjalanan jenazah itu dan sesudah pengebumiannya.
Selepas pengebumian itu beratus-ratus orang telah ditangkap di atas sebab-sebab yang ganjil dan hampir-hampir tidak dapat dipercayai. Mereka yang teraniaya disumbatkan secara beramai-ramai di dalam bilik tahanan yang busuk, itulah penjara ‘Nuqtatul Imamain’ yang berhampiran dengan kubur. Perhatikanlah dari sebab-sebab mereka ditangkap.
Ini seorang pemuda yang memakai tali leher hitam kerana berkabung di atas kematian ayahnya sejak beberapa hari. Seorang polis yang ‘cerdik’ menyangka bahawa pemuda ini memakai tali leher hitam itu kerana berkabung di atas kematian al marhum assyeikh Hasan Al Banna. ‘Kecerdikan’ dan anggapan salahnya, itu tidak dapat melihat secara rasional sebab-sebab lain yang mendorong pemuda itu untuk memakai tali leher hitam itu. Tanpa berlengah-lengah lagi dia mengecap, bahawa ini dari golongan Hasan Al Banna dan pengikut-pengikutny a yang diburu oleh pihak berkuasa yang zalim untuk disiksa dengan sejahat-jahat siksaan. Maka pemuda tersebut disumbatkan di dalam penjara kemudian di kem tahanan untuk disoal siasat.
cambung laie...
No comments:
Post a Comment