Tidak ada tangisan dan ratapan!!
Ayah Assyahid Hassan Al Banna adalah satu-satunya orang dari keluarga itu yang mengetahui dan menunggu kerana ke semua saudara-saudara al marhum assyahid merengkok di dalam tahanan dan penjara. Sejurus selepas ketukan yang bertubi-tubi itu, mereka membuka pintu dan memasukkan jenazah assyahid. Si ayah menangis tersedu sedan dek kehancuran hati. Mereka (askar) berkata kepadanya. Tidak ada tangisan dan tidak ada laungan. Bahkan tidak ada tunjuk perasaan ataupun perkabungan dan tidak solat jenazah kecuali engkau seorang sahaja.
Marilah kita perhatikan kisah selanjutnya yang diperkatakan oleh assyeikh Ahmad Al Bann,a ayah Imam Assyahid . Assheikh Ahmad berkata:Berita kematiannya telah disampaikan pada pukul satu. Mereka mengatakan bahawa mereka tidak akan menyerahkan jenazahnya kepadaku kecuali apabila aku berjanji kepada mereka bahawa beliau mesti dikebumikan pukul sembilan pagi tanpa sebarang majlis keraian. Kalau tidak, maka mereka itu akan terpaksa membawa balik jenazah itu ke rumah sakit Qasru al Aini kemudian ke tempat perkuburan.
Aku terpaksa mengikuti perintah ini dan berjanji kepada mereka akan melaksanakan apa yang dituntut oleh pemerintah kerana harapanku supaya jenazah anakku sampai di rumahnya untuk aku memberi pandangan terakhir kepadanya. Menjelang fajar, jenazahnya dibawa ke rumah ini dengan cara senyap-senyap supaya tidak dapat disaksikan oleh seorang pun dari jiran-jiran. Supaya ketibaannya tidak diketahui oleh seorang pun.
Kepongan keliling rumah
Kepongan polis terus diperketatkan di sekeliling rumah. Bukan rumah itu sahaja yang dikepung, tetapi mereka mengepung jenazah itu. Mereka tidak membenarkan seorang manusia pun menghampirinya walau bagaimana rapat pun hubungannya dengan assyahid itu.
Akulah (Ahmad Al Banna) sendiri berseorangan menguruskan jenazah anakku untuk dikebumikan, kerana tidak seorang pun dari laki-laki yang khas mengurus jenazah dibenarkan masuk. Kemudian aku turunkan jenazah itu setelah diletakkan di dalam keranda. Tinggal lagi satu kesulitan bagiku iaitu siapakah yang akan membawanya kepada tempatnya yang terakhir (ke tempat perkuburan).
Aku meminta kepada pasukan polis supaya mereka membenarkan beberapa orang lelaki untuk membawa keranda jenazah itu. Mereka menolaknya. Aku berkata kepada mereka: “Tidak ada seorang pun laki-laki di rumah ini”. Lantas mereka menjawab: “Tidakkah dia dibawa oleh kaum wanita”. Jadi keranda almarhum assyahid pun keluar dipikul oleh bahu kaum wanita.
Jenazah yang unik itu berangkatlah di jalan, yang dipagari oleh anggota polis. Mata-mata manusia dari tingkap-tingkap dan pintu rumah menunjukkan kilatan dukacita, kesakitan yang sangat dan kemurkaan terhadap kezaliman yang menutupi di kiri kanan jalan.
Apabila kami tiba di masjid Jamek Qiswan untuk melakukan solat jenazah al marhum, didapati masjid itu telah pun kosong, tidak seorang pun dari kakitangan masjid itu sendiri yang kelihatan. Fahamlah aku bahawasanya angkatan polis telah terlebih dahulu tiba di masjid dan menyuruh orang ramai kaluar daripadanya sehinggalah selesai solat jenazah anakku.
Aku pun berdiri di hadapan keranda anakku untuk melakukan solat di atasnya lantas bercucuranlah air mataku. Bukan sahaja air mata, tetapi disertai sekali dengan rayuan ke langit memohon kepada Allah SWT semoga melimpahkan rahmat kepada manusia.
Berangkatlah keranda jenazah Al Imam Assyahid ke tempat pengebumian lalu kami tutup dengan tanah. Dengan harapan ini kami kembali ke rumah dengan tangisan penuh dukacita. Hari siang telah berlalu dan malam telah tiba, tetapi tidak seorang pun datang untuk memberi takziah kerana sesungguhnya pasukan tentera melarang orang ramai memasuki rumah itu. Sesiapa yang dapat menemui kami untuk memberi ucapan takziah, mereka itu tidak akan kembali ke rumah mereka, kerana mereka ditangkap dan disumbatkan ke dalam penjara. Kecuali seorang sahaja iaitu Mukram Ubaid yang sungguh berani terhadap orang-orang zalim itu.
bersambung....
No comments:
Post a Comment